Monday, 25 February 2013

PEGAWAI KERAJAAN INDIA JALANI LATIHAN DI UUM


 
UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi pilihan kerajaan India, apabila pegawai tinggi daripada National Institute for Financial Management of India (NIFM), milik Kementerian Kewangan India menghantar pegawai-pegawai tingginya menjalani latihan di universiti ini.
Pengarah Executive Development Program (EDP) Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Prof Dr Ajay Chauhan berkata, ketika ini UUM telah menerima seramai 131 pegawai daripada empat kumpulan iaitu 33 orang pada 2011, 39 orang pada Januari  dan 20 orang pada September 2012 serta 39 orang pada Januari tahun ini.
 
“UUM telah menerima RM200,160 daripada NIFM, iaitu bayaran RM1,200 seorang pada dua kumpulan yang pertama dan RM1,440 seorang pada dua kumpulan yang terakhir,” ujar beliau.
Katanya lagi, penubuhan Program Pembangunan Eksekutif Khas daripada OYAGSB, telah menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa terutama daripada India melanjutkan pelajaran di UUM.
Sementara itu, pada tahun lalu, pegawai-pegawai tinggi daripada Directorate General of Accounting and Internal Audit (DGAIA), Kementerian Kewangan India yang telah menamatkan latihan mereka di universiti ini dan telah dirai pada majlis NIFM International Training Program Farewell Dinner and Award of Certificate, yang telah berlansung di EDC-UUM.
Latihan tersebut merupakan antara hasil yang dicapai daripada perbincangan dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara NIFM dan UUM yang telah ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dengan wakil NIFM, Prof Dr Gupta di New Delhi.
Pada perkembangan yang sama, kerjasama antarabangsa UUM ini membolehkan universiti  mengembangkan sayapnya ke India seiring hasrat Naib Canselor untuk mengantarabangsakan universiti ini dan juga merealisasikan hasrat menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka.
Selain itu, langkah UUM menjalinkan kerjasama seperti ini juga dapat mempertingkatkan lagi hubungan antara Malaysia dan India yang akan membawa keuntungan kepada kedua-dua negara.

No comments: