Showing posts with label uum. Show all posts
Showing posts with label uum. Show all posts

Monday, 25 February 2013

MAHASISWA UUM SETUJU KUASAI BAHASA INGGERIS


 
Mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) bersetuju untuk menguasai Bahasa Inggeris seperti yang disarankan olen Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak ketika Majlis Amanat Tahun Baharu Naib Canselor 2013 di Dewan Mu’adzam Shah, pagi tadi.
Kepentingan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi berbahasa Inggeris ditekankan dalam ucapan beliau disamping menyarankan pengendalian kertas kerja, laporan dan perjumpaan persatuan menggunakan bahasa tersebut.
Pengerusi Persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) UUM, Wan Hilmie Wan Ahmad berkata perlaksanaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar merupakan salah satu langkah yang baik dan pihak GPMS menyahut seruan Naib Canselor sebagai nilai tambah mahasiswa selepas tamat pengajian.
Sementara itu, Anis Sabbirin Shahbudin, 20 pelajar tahun satu program pengurusan perniagaan antarabangsa melahirkan rasa bertuah kerana berpeluang menghadiri majlis disamping menyokong saranan Naib Canselor tersebut.
“Tidak semua mahasiswa menguasai bahasa inggeris dengan baik, jadi perlaksanaan tersebut akan meningkatkan tahap keyakinan diri dan kemahiran mahasiswa” ujar beliau yang ditemui selepas tamat majlis tersebut.
Hasrat Naib Canselor turut disambut baik oleh Biro Latihan dan Akademik, Jawatankuasa Pembangunan Siswa (JKPS) SME Bank, Muhd syukur Rosli menyatakan ia merupakan satu langkah bijak hasil ilham Naib Canselor untuk memupuk budaya penggunaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.
 Sumber : UUM ONLINE

Sunday, 3 February 2013

KERAJAAN INDIA HANTAR PEGAWAI JALANI LATIHAN DI UUM


Universiti Utara Malaysia (UUM) menjadi pilihan kerajaan India, apabila pegawai tinggi daripada National Institute for Financial Management of India (NIFM), milik Kementerian Kewangan India menghantar pegawai-pegawai tingginya menjalani latihan di universiti ini.
Pengarah Executive Development Program (EDP) Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), Prof Dr Ajay Chauhan berkata, ketika ini UUM telah menerima seramai 131 pegawai daripada empat kumpulan iaitu 33 orang pada 2011, 39 orang pada Januari  dan 20 orang pada September 2012 serta 39 orang pada Januari tahun ini.
 
“UUM telah menerima RM200,160 daripada NIFM, iaitu bayaran RM1,200 seorang pada dua kumpulan yang pertama dan RM1,440 seorang pada dua kumpulan yang terakhir,” ujar beliau.
Katanya lagi, penubuhan Program Pembangunan Eksekutif Khas daripada OYAGSB, telah menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa terutama daripada India melanjutkan pelajaran di UUM.
Sementara itu, pada tahun lalu, pegawai-pegawai tinggi daripada Directorate General of Accounting and Internal Audit (DGAIA), Kementerian Kewangan India yang telah menamatkan latihan mereka di universiti ini dan telah dirai pada majlis NIFM International Training Program Farewell Dinner and Award of Certificate, yang telah berlansung di EDC-UUM.
Latihan tersebut merupakan antara hasil yang dicapai daripada perbincangan dan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara NIFM dan UUM yang telah ditandatangani oleh Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak dengan wakil NIFM, Prof Dr Gupta di New Delhi.
Pada perkembangan yang sama, kerjasama antarabangsa UUM ini membolehkan universiti  mengembangkan sayapnya ke India seiring hasrat Naib Canselor untuk mengantarabangsakan universiti ini dan juga merealisasikan hasrat menjadi Universiti Pengurusan Terkemuka.
Selain itu, langkah UUM menjalinkan kerjasama seperti ini juga dapat mempertingkatkan lagi hubungan antara Malaysia dan India yang akan membawa keuntungan kepada kedua-dua negara.


Monday, 28 January 2013

UUM dan UIAM jadi IPTA baharu yang diberi autonomi





Penyampaian watikah Autonomi kepada Universiti Utara Malaysia oleh Menteri Pengajian Tinggi Malaysia  


PUTRAJAYA 29 Jan. - Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menjadi universiti awam terbaru dianugerahkan autonomi pada tahun ini.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, anugerah itu diberikan selepas selesai proses audit menggunakan instrumen Code of University Good Governance (CUGG) dan University Good Governance Index (UCGI).

"Saya berharap dengan pemberian autonomi ini, Lembaga Pengarah Universiti (LPU) mempunyai kesediaan untuk melaksanakan tanggungjawab baharu selaras dengan penurunan kuasa kepada mereka demi kecermelangan IPT," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Amanat Tahun Baru Kementerian Pengajian Tinggi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.



Selepas Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Malaysia, mendapat taraf autonomi. Sebentar tadi sewaktu penyampaian Amanat Tahun Baru 2013 Kementerian Pengajian Tinggi, dua Universiti baru turut diberikan taraf autonomi tersebut, universiti tersebut ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan juga Universiti utara Malaysia.
IPTA yang diberi kuasa autonomi akan mendapat kelebihan dalam empat bidang utama, merangkumi urus tadbir, kewangan, sumber manusia dan pengurusan akademik serta pengambilan pelajar. Amanat Tahun Baru 2013 dengan moto “Pengajian Tinggi Pemacu Daya Saing Malaysia” mempunyai lapan amanat kesemuanya iaitu:


  • Kajian semula pelan strategik negara (PSPTN)
  • Merekayasa institusi pengajian tinggi
  • Menjana ekonomi berinovasi
  • Kualiti institusi pengajian tinggi
  • Memperkukuhkan kebolehpasaran graduan
  • Pemetaan baharu pengantarabangsaan
  • Pendidikan untuk semua
  • Budaya kerja inovatif



  • Sumber : Utusan Online



    Thursday, 10 January 2013

    MAJLIS PENYERAHAN VAN KHAS KEPADA MPP UUM

    Dalam memastikan tugas menjaga kebajikan pelajar dapat berjalan lancar dan pada masa yang sama memudahkan urusan dalam dan luar kampus, pihak Pengurusan Tertinggi Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyerahkan van khas kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UUM, baru-baru ini.
     
    NC UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak menyerahkan replika kunci kepada YDP UUM

    Majlis Penyerahan yang berlangsung di EDC-UUM, menyaksikan Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak menyerahkan replika kunci van kepada  Yang DiPertua (YDP) MPP, Ku Amirul Faiz Ku Seman.
    Ku Amirul Faiz ketika dihubungi berkata, pemberian van ini menjadi bukti bahawa pihak pentadbiran prihatin dengan kebajikan pelajar, malah merupakan salah satu janji yang telah ditunaikan oleh mereka serta lebih awal daripada yang dijangkakan.
    “Sebelum ini kenderaan merupakan salah satu kekangan kita dalam menjalankan pelbagai urusan dan pemberian ini akan memudahkan kita dalam menjaga kebajikan rakan-rakan mahasiswa.
    “Terima kasih kepada pihak pengurusan universiti dalam memperuntukan sebuah van khas untuk kegunaan MPP,” tambah beliau.
    Sementara itu, Van Toyota Hiace yang diterima itu mampu memuatkan 12 penumpang dalam satu-satu masa dan akan memudahkan lagi kelancaran pergerakan perwakilan pelajar berkenaan dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan.



    Wednesday, 9 January 2013

    CEDI TERIMA LAWATAN KERJA PENARAFAN (BENCHMARKING) PROGRAM KEUSAHAWANAN DARI UNIVERSITI MALAYSIA PAHANG (UMP)



    Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) telah menerima Lawatan Kerja Penarafan (Benchmarking) bagi program Keusahawanan dari Universiti Malaysia Pahang pada 8 Januari 2013. Lawatan ini adalah bertujuan untuk berkongsi pengalaman dan idea daripada pihak Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) melalui aktiviti-aktiviti keusahawanan dan koperasi yang telah dilaksanakan.
    Lawatan kerja penarafan (benchmarking) ini telah dihadiri oleh Dr. Omar bin Jamaludin, Pengarah Pusat Keusahawanan, Universiti Malaysia Pahang dan beliau menyarankan agar pihak UUM dan UMP dapat membentuk kerjasama strategik dalam pembangunan modal insan melalui pembangunan modul-modul latihan keusahawanan bukan sahaja untuk para pelajar IPT, tetapi juga untuk usahawan mikro dan IKS.
    Menurut beliau lagi, dengan adanya kerjasama daripada pihak UUM yang sememangnya telah lama dikenali sebagai sebuah universiti pengurusan terkemuka dan sangat aktif dalam program-program keusahawanan, kerjasama dengan pihak UMP yang terlibat dalam aspek teknikal dan kejuruteraan sememangnya dapat mewujudkan win-win situation kepada kedua-dua belah pihak.
    Pihak UMP juga telah dibawa melawat ke beberapa premis keusahawanan di dalam kampus UUM seperti The Varsity Mall, The Mall Bukit Kachi, Pejabat KOSISWA dan juga Pusat Simulasi Perniagaan, CEDI. 
    Perkongsian idea dan pengalaman daripada pihak CEDI telah disampaikan oleh En. Mohd Khairi Jaafar, Penolong Pengarah CEDI. Turut hadir menjayakan perjumpaan tersebut adalah Yang Berusaha Dr. Chandrakantan A/L Subramaniam, Timbalan Pengarah dan pegawai-pegawai CEDI.
     


    Thursday, 27 December 2012

    Makluman Berkenaan Wifi UUM

    Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

    Pada hari Khamis (20/12/2012), wakil MPP bahagian Exco Informasi dan Exco Pusat Pengajian Komputer (SOC) telah berjumpa dengan En Khalil Khusairi selaku pegawai bahagian rangkaian dan keselamatan internet UUM (network and security). Tujuan utama wakil MPP bertemu dengan beliau adalah untuk memaklumkan masalah yang dihadapi pelajar berkaitan dengan 'wireless' di UUM.


    Perbincangan wakil MPP dengan En Khalil (Network and Security UUM)

    Melalui perbincangan, fokus utama adalah di DPP di luar kampus iaitu bukit kachi (DPP BANK RAKYAT dan SME BANK) yang mempunyai access yang terhad dan lemah.


    Selain itu, beliau juga menerangkan bahawa kontrak UUM dengan SERINDIT UUM telah pun tamat dan Pusat Komputer sendiri akan mengambil alih segala urusan network dan ICT di UUM.

    Menjawab masalah di Bukit Kachi, beliau menjelaskan kerja-kerja menaik taraf (upgrading) telahpun mula dijalankan dan dijadualkan siap selewatnya awal bulan Januari 2013. Apabila menjelaskan tentang network , pastinya ia melibatkan kos yang besar seperti perbelanjaan 'software dan hardware' untuk menyiapkan rangkaian yang besar untuk pelajar di Bukit Kachi. Peruntukan telahpun diterima dan kerja - kerja pembinaan telahpun dijalankan.

    Selain itu, exco pusat pengajian komputer UUM, Nur Izham bin Sobri juga melaporkan tindakan mementingkan diri sesetengah pelajar yang menggunakan 'Wifi Booster' , sejenis peralatan komputer yang 'menarik'  wifi sehingga menjejaskan pengguna lain. Selain itu penggunaan salah laku sesetengah pelajar yang menggunakan wireless untuk 'mendownload' movie juga menyebabkan kesan yang besar terhadap 'wireless' dan juga menjejaskan pengguna lain.

    Perbincangan mengenai penggunaan wireless

    Pada hari yang sama juga, wakil mpp juga sempat bertemu Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Pembangunan Pelajar berkenaan isu ini. Antara persoalan yang menjadi perbincangan adalah:

    1. Sejauh mana penggunaan wifi digunakan pelajar untuk  akademik dan sejauh mana pula penggunaan untuk mendownload movie dan video ?


    Selepas pembinaan rangkain wireless di kachi selesai, satu sesi menyuarat akan diadakan antara Pusat Komputer, HEP dan wakill MPP, dan juga President DPP awal tahun hadapan untuk bekerjasama membantu menambah efisiensi penggunaan wireless di kalangan pelajar agar wireless dapat digunakan untuk semua pelajar secara berhemah dan saksama.



    "INTEGRITI, INTELEK, TERAS KEPIMPINAN SISWA"



    Thursday, 20 December 2012

    FITNAH MELALUI MEDIA






    Menganggotai sesebuah organisasi pelajar seperti Kelab, Persatuan, menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) ataupun JKPS bukanlah untuk mendapatkan markah SIRA ataupun menjawat jawatan untuk mencari populariti semata-mata. Sebaliknya perlu diterjemah dalam bentuk yang lebih konkrit dalam usaha pembangunan diri mahasiswa itu sendiri. Itulah antara amanat dan nasihat yang disampaikan oleh Encik Roslee Mardan, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar, HEP merangkap Penasihat Kelab Setia Negara Universiti Utara Malaysia(KSNUUM). 
    Dalam ucapannya sempena Mesyuarat Agung Tahunan(AGM) 2012/2013 KSNUUM, beliau berkata, setiap ahli KSNUUM perlu sedar bahawa menganggotai organisasi perlu dijadikan satu kesempatan untuk melatih diri menjadi mahasiswa yang kreatif, berkeyakinan dan berketerampilan, selain berdaya fikir dan berperwatakan baik. Beliau menyeru supaya ahli-ahli KSNUUM mengelakkan diri daripada menjadi ‘sleeping partner’ atau sekadar mengambil manfaat daripada hasil usaha orang lain tanpa melakukan apa-apa untuk kemajuan diri sendiri. Tegasnya, jika sekadar menganggotai badan pelajar hanya untuk mengelak daripada dikenakan hukuman oleh pihak Universiti, maka pelajar lebih terdorong sekadar menjadi peserta. Kesannya, pelajar akan gagal bertindak sebagai peneraju dan pencetus perubahan. 
    “Hukuman boleh membuatkan sesiapa sahaja menjadi terpaksa. Sebagai contoh jika tidak aktif, anda takut dibuang dari kolej kediaman(DPP), diapungkan, atau mungkin terasa seperti tidak mendapat sebarang keistimewaan seperti kebajikan, isu tidak mendapat sticker dan sebagainya menyebabkan anda hanya memaksa diri menjadi pengikut(peserta) kepada organisasi yang ada. Mesti ingat, setelah menjadi ahli badan pelajar atau organisasi kelab, anda perlu bertindak lebih daripada itu. Sebaik-baiknya anda mesti mencetus perubahan selaku peneraju utama. Sumbangkanlah sesuatu yang bermanfaat pada organisasi yang anda semua sertai. Fikirkan sesuatu yang segar, yang memberi impak kepada orang di sekitar anda, aktiviti yang membantu menaikkan imej Universiti. Itulah matlamat kita berorganisasi”. Kalau anda ada komitmen sebegini, insyaallah KSN ini akan menjadi antara badan pelajar yang paling aktif dan tidak mustahil berada pada rangking teratas”. Untuk membuat perubahan itu, tidak perlu terburu-buru. Yang penting perlu mulakan usaha”. 
    Dalam ucapan sama, Encik Roslee turut memberi peringatan kepada ahli-ahli KSNUUM agar menjauhkan diri daripada golongan-golongan perosak Universiti. Katanya, fenomena media sosial yang keterlaluan menyukarkan kawalan terhadap pemikiran-pemikiran liar di kalangan mahasiswa sendiri. Segelintir mahasiswa hari ini gemar menggunakan facebook untuk mensensasikan isu dalaman Universiti dan menghentam Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni(JHEP). Menurutnya, perkara-perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan cara perbincangan seolah-olah telah menjadi permasalahan besar sedangkan segala perkara yang digembar-gembur tersebut tidak benar. 
    “Ahli-ahli KSN mesti berhati-hati dengan internet seperti facebook dan blog serta emel blackberry. Sesuatu hal yang tidak benar dan tidak jelas kesahihannya boleh menjadi fitnah. Kalau anda juga percaya maka, anda telah bersubahat menjadi pemfitnah. Tidak ada sesiapa yang rugi. Ini Universiti kita. Universiti anda. Jadi, mengapa anda nak menghancurkan Universiti sendiri. Kalau seawal usia begini anda sudah terlatih menjadi pemfitnah, bayangkanlah sepuluh tahun, mungkin dua puluh tahun akan datang, anda menjadi generasi yang suka berpesepsi negatif, berprasangka buruk, sudah tentulah kesudahannya adalah konflik. Mahasiswa terperangkap dengan pemikiran cara negatif. Itu salah, ini salah, semuanya salah. Tuhan akan menyekat kehidupan golongan pemfitnah. Tengok generasi muda di negara timur tengah yang suka berprasangka buruk menyebabkan negara tidak stabil sampai hari ini. Jika ada masalah, berterus terang kadang-kadang lebih baik berbanding kalau anda sebagai mahasiswa meluahkan apa-apa isu kepada orang(luar) yang tidak boleh membantu menyelesaikannya. Kalau tidak berupaya sekalipun, apa salahnya diam, lebih baik. Kalau tidak, keadaan akan bertambah buruk lagi. Tidak ada gunanya menjadi ahli Kelab Setia Negara kalau anda bersikap tidak setia kepada Universiti sendiri apatah lagi setia kepada negara. Jadi kena lah faham makna ‘setia’ itu. Jauhkan diri dari anasir-anasir ini”. Ujarnya.
    Mengakhiri ucapan, beliau turut mengingatkan kepada ahli-ahli KSNUUM supaya selain aktif berpersatuan, pelajaran mesti diutamakan dan menjaga tatasusila sebagai mahasiswa. Tegasnya, ini boleh dilakukan dengan cara faham mengenai matlamat asal serta tidak meninggalkan kehidupan beragama. Sementara itu, mantan Presiden KSNUUM 2011/2012, Norjana Ja’afar berkata, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli Majlis Tertinggi 2011/2012 yang berkerjasama melaksanakan aktiviti KSNUUM. Norjana berharap agar ahli MT dan ahli KSN yang baru keseluruhannya akan berusaha lebih keras untuk melaksanakan pelbagai aktiviti terutama mengenalpasti hight impact programme seperti yang disarankan. 
    KSNUUM bertukar barisan kepimpinan baru setelah Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Berjaya dilaksanakan pada 8 Disember 2012 lalu di Dewan Auditorium, Perpustakaan Sultanah Bahiyah(PSB). Seramai 17 orang Majlis Tertinggi(MT) dilantik menggantikan kepimpinan lama. Sungguhpun begitu beberapa muka lama dikekalkan dengan menjawat jawatan tertinggi selain Biro-Biro utama. Semua ahli Majlis Tertinggi KSNUUM 2013/2014 akan terlibat dalam Kem Kepimpinan Pelajar(SLC) Perdana  anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Aumni(JHEP) yang dijadualkan pada Februari 2013 dan bakal menggariskan beberapa perancangan aktiviti untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.


    Majlis Konvokesyen Khas Universiti Utara Malaysia



     
    Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepemimpinan Keamanan- Peace Leadership) kepada Presiden Republik Indonesia, Dr H. Susilo Bambang Yudhoyono di Majlis Konvokesyen Khas Universiti Utara Malaysia (UUM) di Istana Negara, Kuala Lumpur.
    Pengurniaan oleh Baginda yang juga Canselor UUM tersebut kepada Dr H. Susilo Bambang Yudhoyono atas sumbangan cemerlang beliau dalam keamanan sejagat.
    Ketika bertitah pada Majlis Konvokesyen Khas UUM, Baginda menyatakan bahawa keamanan yang dinikmati pada hari ini adalah hasil kepemimpinan yang berwibawa, berwawasan serta bijak dalam mengendalikan krisis dan pergolakan.
    “Keamanan yang dinikmati oleh kita semua sehingga ke hari ini adalah hasil usaha semua pihak sama ada pihak pemimpin mahupun rakyat jelata yang masing-masing sebenarnya, mendambakan keamanan dan kehidupan yang selesa lagi selamat. 
    “Walau bagaimanapun, keadaan ini memerlukan kepemimpinan yang berwibawa, berwawasan serta bijak dalam mengendalikan krisis dan pergolakan, sama ada krisis ekonomi, politik atau pergolakan sosial demi mewujudkan keamanan, stabiliti dan ketahanan pertumbuhan ekonomi melalui kepemimpinan yang berteraskan keamanan,” titah Baginda.
    Baginda bertitah, Dr H. Susilo Bambang Yudhoyono adalah pemimpin yang berjaya menyelesaikan konflik, krisis dan permasalahan melalui permuafakatan dalam sebuah negara yang penduduknya lebih daripada 230 juta.
    “Beta percaya tanggungjawab ini bukan lah mudah untuk dilaksanakan, kerana berhadapan dengan pelbagai cabaran tetapi dengan keizinan Allah yang telah menganugerahkan beliau dengan kepemimpinan yang mementingkan keamanan sejagat, keamanan dan kemajuan yang mampan untuk Indonesia khususnya, dapat dinikmati oleh semua pihak.
    “Penganugerahan Ijazah Kehormat Kepimpinan Keamanan yang julung kali diadakan ini menandakan pengiktirafan UUM kepada Dr H. Susilo Bambang Yudhoyono, atas sumbangan besar beliau kepada keamanan sejagat.
     
    “Beta mengucapkan tahniah di atas penganugerahan ini dan semoga ia akan menjadi inspirasi kepada kepimpinan sekarang dan kepimpinan akan datang untuk terus mempergiatkan usaha ke arah dunia sejagat, lebih-lebih lagi untuk di rantau Asia ini,” titah Baginda.
     
    Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, berkat kepimpinan Dr H. Susilo Bambang Yudhoyono, hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia terjalin rapi, terutama bagi UUM yang sentiasa terbuka untuk menyumbang ke arah kemakmuran yang melimpah untuk rakyat kedua negara serumpun ini.
    “Atas sumbangan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Senat Universiti Utara Malaysia, memutuskan untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepemimpinan Keamanan) kepada beliau.
     
    “Semoga, penganugerahan ijazah kehormat Doktor Falsafah dalam Kepemimpinan Keamanan ini menambahkan lagi keakraban hubungan Malaysia-Indonesia,” katanya.

    Monday, 17 December 2012

    MPP UUM Di Konvensyen Pemimpin Pelajar IPT 2012

    Pada hari Sabtu, 15,12,2012 Konvensyen Pemimpin Pelajar Institusi Pengajian Tinggi 2012 telah berlangsung, dan sewaktu Konvensyen, MPP dari seluruh IPTA mengambil peluang untuk beramah mesra bersama Yang Amat Berhormat Dato' Seri Najib. MPP dari IPT yang hadir juga mengambil peluang menyampaikan hasrat kepada pihak Perdana Menteri.


    Antara isu yang disampaikan oleh pengerusi MPPK menyampaikan beberapa isu mahasiswa seperti berikut :

    1) Isu Wifi

    2) Isu penempatan pelajar

    Perdana Menteri juga telah minitkan kepada KPT mengenai masalah wifi ini manakala kertas cadangan pula telah diminta oleh Perdana Menteri dan YDP UUM, Ku Amirul Faiz yang juga memegang jawatan Setiausaha Agong Kebangsaan Jemaah diberi kepercayaan untuk menyiapkan kertas cadangan tersebut.


    Selain itu, isu penempatan pelajar juga dalam perhatian Perdana Menteri, dan penempatan pelajar di dalam kampus akan ditambah.


    YAB Perdana Menteri bersama YDP UUM, Ku Amirul

    YDP UUM, Saudara Ku Amirul selaku Setiausaha Agong Jemaah YDP IPT juga menyampaikan isu Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), agar kerajaan membantu mahasiswa ISMP mendapat tempat posting.
    Ku Amirul juga berharap agar isu-isu mahasiswa mendapat penglibatan yang menerus dari kerajaan agar suara mahasiswa dapat didengar.

    Ku Amirul juga menyampaikan isu air UMK ke pengetahuan Perdana Menteri

    Ternyata masalah-masalah pelajar bukan sahaja diangkat ke peringkat universiti malah ke peringkat kebangsaan dan kebanyakan universiti menghadapai masalah yang sama.


    Info :  16/20 ipta mengalami masalah wifi seperti kekurangan access point di kolej kediaman, server tidak mampu menampung jumlah pengguna yang ramai, dan juga masalah gangguan wifi kerana dalam proses penambahbaikan fiber cable.



    "INTEGRITI, INTELEK TERAS KEPIMPINAN SISWA"




    Tuesday, 11 December 2012

    Universiti Utara Malaysia memenangi “Student Engagement Award”

     
     
    5 Disember 2012 Universiti Utara Malaysia berjaya memenangi kategori “Student Engagement” yang diumumkan dalam Majlis Makan Malam MOHE Entrepreneurial Award 2012 di Hotel Grand Hyatt, Kuala Lumpur malam tadi.
     
    UUM memenangi hadiah wang tunai RM50,000.00 berserta trofi yang disampaikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khalid Nordin, Menteri Pengajian Tinggi.  Anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada UUM yang telah berjaya menggabungkan aktiviti keusahawanan dalam  melahirkan graduan yang mempunyai atribut yang tinggi.  Kriteria yang dilihat adalah bagaimana pelajar dan graduan memperlihatkan keupayaan mereka mengimplementasikan daya fikir dan kebolehan  dalam perniagaan dan keusahawanan melalui pengalaman yang diperolehi dalam pembelajaran di universiti.
     
    Kejayaan yang dicapai adalah bertepatan dengan pembudayaan keusahawanan yang telah wujud dalam kalangan pelajar UUM melalui program SISWANIAGA sejak tahun 1990an lagi.   Program berkenaan yang dibentuk bagi menggalakkan pembelajaran di dalam kelas dan disokong pengalaman hands-on melalui perniagaan di dalam kampus ternyata berjaya mengiktiraf UUM dalam kategori “Student Engagement”
     
    Dalam majlis tersebut, Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul sebagai “Entrepreneurial University of the Year 2012” manakala kategori “Institutional Environment” di menangi oleh UNIMAP, kategori “Innovative and Entrepreneurial Staff” dimenangi oleh UTeM, “Entrepreneurial Impact” dimenangi oleh UPM manakala “Innovative Teaching and Learning” dimenangi oleh UTM.  Anugerah “Best Student Enterprise” dimenangi oleh pelajar UPM.
     
    Naib Canselor, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak menerima anugerah bagi pihak UUM.
     
     

    Monday, 3 December 2012

    PUSAT ISLAM UUM KUNJUNGI MASJID TERTUA DIBEIJING



    BEIJING – Masjid Tertua berusia 538 tahun menjadi tumpuan Kembara Ukhwah anjuran Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM). Masjid Niujie merupakan masjid terbesar di Beijing ini dikenali juga dengan nama Libaisi yang mengabungkan senibina Arab dan China.

    Penolong Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UUM, Shahril Fazli Mat Hussain ketika bersama 20 kakitangan dan keluarga yang menyertai Kembara Ukhwah berkata, kunjungan ini bukan sahaja untuk menunaikan sembahyang malah turut menyampaikan Sijil dari Pusat Islam UUM sebagai kenangan dan beberapa buah buku untuk ditempatkan di Masjid ini.

    Katanya, memandangkan Masjid ini menjadi tumpuan rakyat Malaysia dan Indonesia khususnya maka amat sesuailah buku berbahasa Melayu yang menerangkan mengenai cara Pengurusan Jenazah, Zikir, Munajat, Fardu Ain dan beberapa buku lain diletakkan disitu.

    “Kunjungan kami juga turut dirasai kerana selalunya umat islam yang berkunjung ke Beijing hanya singgah untuk mengerjakan sembahyang tetapi berlainan dengan Pusat Islam UUM kerana mengambil peluang untuk berinteraksi dengan Imam dan kakitangan Masjid yang dikunjungi,” katanya.

    Walaupun kunjungan ini singkat tetapi amat bermakna kerana dapat berkenal dengan Imam dan pihak pengurusan masjid serta dibawa melihat sekeliling masjid termasuk kedai menjual cederamata.

    Kembara Ukhwah Pusat Islam UUM ke Beijing ini diadakan selama seminggu dan dibawa melawat beberapa lokasi lain disana termasuk Tembok Besar China, Pasaraya Islam, Pasar Malam, Pusat Herba, menyaksikan pertunjukkan Akrobatik, Pusat Kristal, Pusat Jade, Tiananmen Aquare, Forbidden City, Silk Store Dan beberapa lokasi lain.

    Dalam Kembara Ukhwah ini Pegawai Hal Ehwal Islam, Pusat Islam UUM, Ustaz Yusnaidi Mohd Sabri juga sempat bertemu dan berbincang untuk megadakan program bersama dengan wakil delegasi motor berkuasa tinggi di Malaysia.

    “Kita bercadang untuk menganjurkan Kem Rempit Bersama Pusat Islam dengan persetujuan Pengarah Pusat Islam yang berkonsepkan ilmu untuk generasi muda khususnya,” kata Mohd Yusnaidi lagi.

    Langkah ini selaras dengan hasrat pihak Pengarah Pusat Islam, Prof Madya Dr Ismail Ishak khususnya untuk melihat Pusat ini turut berada dipersada antarabangsa selain dari program Haji, Umrah dan Ziarah.

    Beliau menambah ada kalangan pelajar, kakitangan dan masyarakat luar yang mula menunjukkan minat mereka untuk menyertai program yang dianjurkan oleh pusat ini.
    Sementara itu beberapa peserta yang turut dalam program ini gembira bukan sahaja dapat menyaksikan tempat menarik dan membeli-belah namun dapat berinteraksi dengan penduduk terutama masyarakat islam disana.

    Dakina Zakaria, 27 berkata, lawatan ini dilihat berlainan dengan biasa kerana pengisiannya bukan sahaja untuk bercuti malah dapat menambah ilmu serta mendekatkan juga dengan masyarakat disana.

    Manakala Ahmad Zabadi Mokhtar, 46 berkata, langkah mengunjungi Masjid dan berinteraksi dengan Imam, bilal dan kakitangan walaupun mempunyai masalah dari segi bahasa tetapi amat bermakna kerana mesej yang disampaikan boleh difahami antara kedua pihak.

    “Saya melihat program pengantarabangsaan yang dianjurkan ini berjaya kerana bukan sahaja dapat melihat Tembok Besar China malah dapat berkongsi pendapat, memahami budaya, menyaksikan bagaimana produk dari China dihasilkan dan melihat bertapa ramai rakyat China yang Bergama Islam disana,” ujarnya lagi.


    Oleh: Samsudin Oli MohamedGambar
    Oleh: Mohd Safarizwan Majid.

    Thursday, 29 November 2012

    Ekspedisi Berbasikal Sintok – Krabi 2012 Dilancarkan

     

    UUM ONLINE: Ekspedisi Berbasikal Sintok – Krabi 2012 yang melibatkan 60 peserta warga Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dilancarkan oleh Penolong Naib Canselor College of Law, Government and International Studies (UUM COLGIS),Prof Madya Datin Dr Siti Alida John Abdullah yang mewakili Naib Canselor di Foyer Bangunan Canselori, semalam.
    Berucap pada majlis berkenaan, Dr Siti Alida John berkata, ekspedisi seperti ini merupakan satu tanggungjawab kepada peserta kerana mereka membawa nama dan identiti universiti sepanjang ekspedisi berlangsung.
    “Ini bukanlah satu ekspedisi suka-suka, ia adalah satu usaha untuk mendidik kerana melalui aktiviti seperti ini banyak perkara yang dapat dicapai kearah menuju matlamat sebagai seorang pelajar dan juga staf,” katanya.
    Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UUM, Shaferi Rejab berkata, ekspedisi ini merupakan lanjutan daripada ekspedisi sebelum ini yang telah diadakan pada tahun 2010.
    Pada perkembangan yang sama, ekspedisi ini anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pusat Sukan UUM ini bermula pada pagi tadi sehingga 2 Disember ini akan melalui perjalanan Danok, Hatyai, Klong Nge, Trang dan Koh Lanta, Krabi.



    Oleh: Muhammad Mustakim Ramli
    Gambar oleh: Abdul Halim Husin

    DARIPADA : SEKSYEN MEDIA
    UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
    UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
    TEL.: 04-928 3007/3014/3066/4078
    FAKS: 04-928 3016

    Thursday, 22 November 2012

    UUM DINOBAT ANTARA TERBAIK DALAM PENILAIAN TOP BUSINESS SCHOOL


    UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dinobat antara yang terbaik dalam penilaian Top Business School (TBS) di Malaysia. Pencapaian tempat kedua terbaik telah diperolehi oleh Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYA-GSB) yang mendapat dua (2) bintang dalam penilaian TBS dan kedudukan ini dikongsi bersama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tempat pertama pula disandang oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapat tiga (3) bintang.
    Keputusan tersebut telah diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin semasa berucap di Program Kepimpinan Pengurusan Tertinggi Institusi Pengajian Tinggi Awam di Langkawi malam tadi.
    Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria utama antaranya kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan serta perkhidmatan yang diberikan oleh OYA-GSB dalam tempoh tiga (3) tahun yang lalu.
    Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak semasa diminta mengulas kejayaan ini berkata " Saya amat bersyukur ke hadrat Allah atas pencapaian ini dan mengucapkan terima kasih kepada warga kerja UUM khususnya staf OYA-GSB yang telah berusaha bertungkus lumus bagi memastikan kejayaan tersebut. “
    Katanya lagi “ jika kita terus bekerja kuat seperti apa yang kita lakukan sekarang dan sentiasa konsisten serta tabah menghadapi cabaran, Insya-Allah UUM benar-benar akan mengubahdirinya dalam masa dua atau tiga tahun akan datang dari sekarang”. Oleh itu Dr. Mohamed Mustafa menyeru semua warga kerja UUM untuk sama-sama berusaha memastikan UUM terus cemerlang demi mnencapai hasrat menjadikan Universiti ini sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.
    Jelas beliau, “ OYA-GSB yang telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada usaha berani universiti ini untuk terus menawarkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan yang inovatif dan berkesan”
    Katanya lagi “dengan slogan "Mentransformasikan Pemimpin Demi Kelestarian Perniagaan dan Masyarakat”, OYA-GSB diyakini akan dapat menghasilkan pemimpin perniagaan masa depan yang mempunyai skop yang luas di peringkat antarabangsa, mempunyai kebolehan membuat keputusan yang cemerlang dan mampu melaksanakan perubahan untuk kebaikan perniagaan, masyarakat dan alam sekitar.

    Sementara itu, semasa mengulas pencapaian ini, Dekan OYA-GSB, Profesor Dr. Noor Azizi Ismail berkata “ Anugerah
    TBS diberi berdasarkan penilaian yang ketat dan terperinci oleh pihak Jawatankuasa Penilaian TBS, Kementerian Pengajian Tinggi.

    Jelas beliau lagi “ Status TBS ini membuktikan program akademik yang ditawarkan oleh Universiti ini dan OYA-GSB khususnya adalah sangat kompetatif dan berkualiti. Adalah diharapkan status ini mampu menarik minat lebih ramai pelajar yang berkualiti dari dalam dan luar negara untuk meneruskan pengajian di sini. “
    Beliau juga berkata, “ Adalah diharapkan bahawa status TBS yang diperolehi ini juga akan dapat membantu OYA-GSB meningkatkan jalinan kerjasama yang lebih erat dengan pihak industri serta menarik lebih banyak peluang pembiayaan yang akhirnya boleh memberi manfaat yang besar kepada Universiti ini. “
    Tambah beliau, “ kita amat berharap agar status TBS akan memberi peransang dan semangat yang kuat kepada semua warga kerja Universiti ini untuk mencapai wawasanmenjadikan OYA-GSB salah satu sekolah perniagaan terkemuka di rantau ini.

    Tambah beliau lagi, hasil kerja keras semua pihak dan komitmen yang tinggi serta sokongan yang padu dan berterusan pihak pengurusan atasan UUM , akhirnya usaha tersebut telah membuahkan hasil yang amat membanggakan.
    Katanya lagi, “ kami akan terus bekerja kuat bagi memastikan hasrat OYA-GSB untuk diiktiraf sebagai salah satu daripada Top 100 World Business School menjelang 2015 tercapai”.