Saturday 23 February 2013

JASA DAN BAKTI DATUK DR AHMAD FAIZ AKAN TERUS DIKENANG

Jasa dan bakti bekas Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Utara Malaysia (UUM), Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid sejak berkhidmat pada 1 Ogos 1984 sehingga 30 September 2012 akan terus dikenang oleh seluruh warga universiti ini.

Bagi mengenang sumbangan tidak terhingga beliau sepanjang berkhidmat di universiti ini, Majlis Penyerahan Tugas Timbalan Naib Canselor (HEPA) telah diadakan di EDC-UUM, semalam.
Berucap pada majlis berkenaan, Dr Ahmad Faiz menyatakan bahawa masih terlalu banyak lagi yang ingin dilakukan beliau pada universiti ini.
“Saya serba salah, kerana terlalu banyak yang ingin saya lakukan pada universiti ini tetapi tidak dapat melakukan kerana sebagai manusia biasa kita punya batas-batasnya,” tambah beliau.
Katanya lagi, beliau amat menghargai peluang yang diberikan kepadanya dalam menyumbang kepada UUM walaupun baginya ia belum mencukupi.
Walaupun sudah tidak lagi berkhidmat di universiti ini, Dr Ahamd Faiz menyatakan beliau sentiasa akan menabur bakti khususnya dalam pendidikan untuk agama, bangsa dan negara.
Dalam pada itu, melalui rakaman perbualan telefon, Naib Canselor, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, Dr Ahmad Faiz telah membuktikan usia bukanlah penghalang untuk berjaya.
“Usia tidak melunturkan semangat beliau untuk melanjutkan pelajaran dan ini boleh dijadikan ikhtibar kepada semua.
“Malah beliau juga telah memberi sumbangan yang besar kepada UUM dalam pelbagai bentuk seperti ceramah motivasi, membina semangat pelajar dan tegas kepada pelajar untuk berusaha bagi mencapai keputusan yang cemerlang,” ujar beliau.
Sementara itu, mewakili Naib Canselor dalam majlis berkenaan, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Abdul Razak Saleh berkata, perpisahan bersama Dr Ahmad Faiz merupakan satu kehilangan buat universiti ini.
“Walaupun ia merupakan perpisahan tetapi bukanlah satu pengakhiran buat Dr Ahmad Faiz, kerana saya percaya ini merupakan permulaan bagi beliau untuk memberi khidmat bakti bagi masyarakat.
“Banyak perkara yang saya belajar dari Dr Ahmad Faiz, beliau seorang yang tidak jemu untuk memberi teguran serta tunjuk ajar dan saya percaya bekas pelajar yang berjaya pastinya akan berterima kasih kepada beliau,” katanya.

Sumber : uum online


No comments: