Sunday, 4 November 2012

YDP MPP UUM dalam akhbar Mingguan Malaysia

BERDASARKAN rekod terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi muda dalam kategori lingkungan umur 21 hingga 39 tahun - telah mencecah angka 5.2 juta orang . Ini menjadikan golongan orang muda sebagai kelompok penting yang perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara. 

Dari segi statistik, pengundi yang berumur 21 hingga 29 tahun mencatatkan jumlah 2.3 juta orang . Ini bermakna golongan yang berusia di bawah 30 tahun semakin ramai. Adakah angka pengundi muda ini tanda penentu sosial dan politik negara? Wartawan Mingguan Malaysia, RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH mewawancara Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Setiausaha Agong Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), KU AMIRUL FAIZ KU SEMAN mengenai perkara ini.



MINGGUAN: Sebagai mahasiswa, bagaimana pemahaman anda terhadap demokrasi?
 
 
KU AMIRUL: Demokrasi merupakan sistem terbaik untuk memilih pemimpin. Di peringkat universiti, sistem ini digunapakai bermula dengan kelab kecil sehinggalah pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Mahasiswa dilihat semakin sedar dan peka terhadap sistem demokrasi di kampus. Sistem pilihan raya kampus memberi peluang mahasiswa terlibat dalam sistem demokrasi. Mereka kena menerima hakikat inilah sistem kita. Begitu juga di peringkat kebangsaan, mahasiswa dan orang muda sudah faham bagaimana demokrasi berfungsi. Mereka tahu jika tidak mengundi dalam pilihan raya, mereka tidak dapat membuat pilihan dan perubahan untuk masyarakat dan negara. Walaupun begitu, ada setengah pihak gagal menafsirkan makna demokrasi. Sebenarnya, sistem itu murni tetapi persepsi setengah pihak menganggap seolah-olah sistem itu dikawal dan tidak berfungsi.


MINGGUAN: Boleh anda jelaskan aspirasi orang muda masa kini?

KU AMIRUL: Aspirasi orang muda adalah mudah iaitu kami mahu pemimpin yang dapat membantu menyelesaikan masalah kami. Sebab itulah diwujudkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam MPPK, kami bebas bercakap mengenai pelbagai isu, dari mahasiswa, masyarakat hinggalah negara. Kad diskaun mahasiswa misalnya, terhasil daripada perundingan MPKK. Mahasiswa memerlukan platform dan platform itu disediakan kerajaan. Maka kita perlu gunakan dengan sebaiknya.


MINGGUAN: Golongan mahasiswa dilihat sering memperjuangkan hak kebebasan bersuara. Apakah pendapat anda mengenai isu ini?

KU AMIRUL: Hak ini penting tetapi kita perlu kebebasan yang beradab. Maknanya kita bebas untuk mengekspresikan pendapat kita tetapi perlu tahu caranya. Kita perlu berfikir apa yang kita cakap sama ada boleh atau tidak. Undang-undang yang diwujudkan bukan bertujuan mengawal atau menghalang orang muda bersuara. Sebaliknya penting untuk menjaga keharmonian dalam banyak perkara. Orang muda perlu tahu setiap hak itu diiringi dengan tanggungjawab. Hak bersuara perlu disampaikan dengan cara yang baik, diplomasi dan intelektual. Mahasiswa perlu menyuarakan pendapat berdasarkan fakta dan bukannya dan emosi. Kita tidak perlu menyuarakan hak di jalanan yang belum tentu memberi impak yang besar.

MINGGUAN: Wajarkah golongan mahasiswa terlibat dalam politik?

KU AMIRUL: Akta Kolej dan Universiti (AUKU) sekarang sudah membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik di luar kampus. Tetapi mereka perlu natural semasa dalam kampus. Bagi saya, semua bergantung kepada diri sendiri. Tidak dinafikan berpolitik boleh meningkat kemahiran sosial. Tetapi jangan lupa tujuan mahasiswa ke kampus ialah menuntut ilmu. Apa yang saya risau sekarang ialah ketaksuban mahasiswa berpolitik ini boleh memecah-belahkan mahasiswa sendiri. Jika mereka boleh berfikir secara rasional, keadaan boleh terkawal kerana kita boleh hidup bersama walaupun berbeza pendapat.


MINGGUAN: Ada golongan muda berpendapat politik sekarang kotor sehinggakan mereka tidak mahu mengambil tahu. Apa komen anda?

KU AMIRUL: Kotor atau tidak bergantung pada permainan politik itu sendiri. Orang mudalah yang perlu mengubah situasi ini. Untuk mengubah mereka kena mengambil tahu aspirasi kebangsaan dan peka isu sosial dan politik. Kita orang muda wakil kepada aspirasi kebangsaan, bukannya kepada kumpulan tertentu. Itulah peranan orang muda dalam pilihan raya. Orang muda merupakan komposisi pengundi yang agak besar kali ini. Mahu tak mahu, kita kena buat pilihan yang baik. Memilih pemimpin terbaik untuk meneruskan aspirasi kebangsaan. Pada pandangan saya, politik kita bukan seperti politik Amerika, politik kita lahir daripada gagasan sejarah.


Bagaimana pemimpin yang dikehendaki orang muda?

KU AMIRUL: Kami mahukan pemimpin 'berjiwa muda' bukan dari segi penampilan fizikal semata tetapi juga cara berfikir. Mereka perlu mengambil berat tentang kebajikan orang muda. Saya berminat dengan kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sekarang bukan zaman untuk kerajaan tahu semuanya, tetapi sekarang ini satu zaman rakyat kena beritahu apa yang mereka perlukan. Bukan senang mencari pemimpin seperti beliau yang boleh mendengar rasa hati orang muda dan boleh duduk bersama tanpa protokol. Pemimpin macam ini yang orang muda mahukan. Selain dekat dengan orang muda, beliau mengambil inisiatif turun ke akar umbi untuk mendengar permasalahan rakyat.


MINGGUAN: Apa pandangan anda tentang perbalahan yang wujud dalam politik?

KU AMIRUL: Sejujurnya, kami sudah muak melihat perbalahan. Tuduh menuduh yang dilontarkan lebih kepada fitnah bukan fakta. Mahasiswa memerlukan parti politik yang menjuruskan kepada perdebatan intelektual. Masalahnya, ada yang berani di pentas menaburkan fitnah untuk menjatuhkan pihak lawan. Kami mahasiswa diasuh pertarungan idea dan intelektual.


MINGGUAN: Bagaimana untuk menyedarkan mahasiswa dan orang muda tentang peranan mereka dalam sosial dan politik negara?

KU AMIRUL: Mahasiswa perlu dididik tentang integriti pemikiran. Golongan ini perlu menilai sumber yang sahih bukan merujuk kepada sesetengah media alternatif yang banyak mengetengahkan laporan yang tidak tepat dan tidak beretika. Rujuklah kepada media arus perdana yang terbukti mempunyai kredibiliti dan integriti. Untuk mengubah permainan politik, mahasiswa dan orang muda perlu mengubah cara berfikir dan jangan terpengaruh dengan sekian banyak persepsi yang mempunyai tujuan tertentu.



No comments: