Thursday 29 November 2012

Ekspedisi Berbasikal Sintok – Krabi 2012 Dilancarkan

 

UUM ONLINE: Ekspedisi Berbasikal Sintok – Krabi 2012 yang melibatkan 60 peserta warga Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dilancarkan oleh Penolong Naib Canselor College of Law, Government and International Studies (UUM COLGIS),Prof Madya Datin Dr Siti Alida John Abdullah yang mewakili Naib Canselor di Foyer Bangunan Canselori, semalam.
Berucap pada majlis berkenaan, Dr Siti Alida John berkata, ekspedisi seperti ini merupakan satu tanggungjawab kepada peserta kerana mereka membawa nama dan identiti universiti sepanjang ekspedisi berlangsung.
“Ini bukanlah satu ekspedisi suka-suka, ia adalah satu usaha untuk mendidik kerana melalui aktiviti seperti ini banyak perkara yang dapat dicapai kearah menuju matlamat sebagai seorang pelajar dan juga staf,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pusat Sukan UUM, Shaferi Rejab berkata, ekspedisi ini merupakan lanjutan daripada ekspedisi sebelum ini yang telah diadakan pada tahun 2010.
Pada perkembangan yang sama, ekspedisi ini anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Pusat Sukan UUM ini bermula pada pagi tadi sehingga 2 Disember ini akan melalui perjalanan Danok, Hatyai, Klong Nge, Trang dan Koh Lanta, Krabi.



Oleh: Muhammad Mustakim Ramli
Gambar oleh: Abdul Halim Husin

DARIPADA : SEKSYEN MEDIA
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3007/3014/3066/4078
FAKS: 04-928 3016

Thursday 22 November 2012

UUM DINOBAT ANTARA TERBAIK DALAM PENILAIAN TOP BUSINESS SCHOOL


UUM ONLINE: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah dinobat antara yang terbaik dalam penilaian Top Business School (TBS) di Malaysia. Pencapaian tempat kedua terbaik telah diperolehi oleh Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYA-GSB) yang mendapat dua (2) bintang dalam penilaian TBS dan kedudukan ini dikongsi bersama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Tempat pertama pula disandang oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) yang mendapat tiga (3) bintang.
Keputusan tersebut telah diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin semasa berucap di Program Kepimpinan Pengurusan Tertinggi Institusi Pengajian Tinggi Awam di Langkawi malam tadi.
Penilaian ini dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria utama antaranya kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan pembangunan serta perkhidmatan yang diberikan oleh OYA-GSB dalam tempoh tiga (3) tahun yang lalu.
Naib Canselor UUM, Profesor Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak semasa diminta mengulas kejayaan ini berkata " Saya amat bersyukur ke hadrat Allah atas pencapaian ini dan mengucapkan terima kasih kepada warga kerja UUM khususnya staf OYA-GSB yang telah berusaha bertungkus lumus bagi memastikan kejayaan tersebut. “
Katanya lagi “ jika kita terus bekerja kuat seperti apa yang kita lakukan sekarang dan sentiasa konsisten serta tabah menghadapi cabaran, Insya-Allah UUM benar-benar akan mengubahdirinya dalam masa dua atau tiga tahun akan datang dari sekarang”. Oleh itu Dr. Mohamed Mustafa menyeru semua warga kerja UUM untuk sama-sama berusaha memastikan UUM terus cemerlang demi mnencapai hasrat menjadikan Universiti ini sebagai Universiti Pengurusan Terkemuka.
Jelas beliau, “ OYA-GSB yang telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada usaha berani universiti ini untuk terus menawarkan pengajian dalam bidang pengurusan perniagaan yang inovatif dan berkesan”
Katanya lagi “dengan slogan "Mentransformasikan Pemimpin Demi Kelestarian Perniagaan dan Masyarakat”, OYA-GSB diyakini akan dapat menghasilkan pemimpin perniagaan masa depan yang mempunyai skop yang luas di peringkat antarabangsa, mempunyai kebolehan membuat keputusan yang cemerlang dan mampu melaksanakan perubahan untuk kebaikan perniagaan, masyarakat dan alam sekitar.

Sementara itu, semasa mengulas pencapaian ini, Dekan OYA-GSB, Profesor Dr. Noor Azizi Ismail berkata “ Anugerah
TBS diberi berdasarkan penilaian yang ketat dan terperinci oleh pihak Jawatankuasa Penilaian TBS, Kementerian Pengajian Tinggi.

Jelas beliau lagi “ Status TBS ini membuktikan program akademik yang ditawarkan oleh Universiti ini dan OYA-GSB khususnya adalah sangat kompetatif dan berkualiti. Adalah diharapkan status ini mampu menarik minat lebih ramai pelajar yang berkualiti dari dalam dan luar negara untuk meneruskan pengajian di sini. “
Beliau juga berkata, “ Adalah diharapkan bahawa status TBS yang diperolehi ini juga akan dapat membantu OYA-GSB meningkatkan jalinan kerjasama yang lebih erat dengan pihak industri serta menarik lebih banyak peluang pembiayaan yang akhirnya boleh memberi manfaat yang besar kepada Universiti ini. “
Tambah beliau, “ kita amat berharap agar status TBS akan memberi peransang dan semangat yang kuat kepada semua warga kerja Universiti ini untuk mencapai wawasanmenjadikan OYA-GSB salah satu sekolah perniagaan terkemuka di rantau ini.

Tambah beliau lagi, hasil kerja keras semua pihak dan komitmen yang tinggi serta sokongan yang padu dan berterusan pihak pengurusan atasan UUM , akhirnya usaha tersebut telah membuahkan hasil yang amat membanggakan.
Katanya lagi, “ kami akan terus bekerja kuat bagi memastikan hasrat OYA-GSB untuk diiktiraf sebagai salah satu daripada Top 100 World Business School menjelang 2015 tercapai”.

Majlis beramah mesra bersama TNC Penyelidikan dan Inovasi.

TNC PI , Prof Razak Bin Abdul Saleh


Pada 18 november 2012 yang lalu, telah berlangsung majlis beramah mesra bersama TNC PI, Prof Razak Bin Abdul Saleh (menjalankan tugas TNC HEPA). Majlis ini telah dihadiri seramai 22 orang ahli MPP yang diketuai oleh YDP Ku Amirul Faiz. Majlis dimulai dengan makan malam bersama yang berbahagia, prof razak dan disertai oleh ahli mpp dan diteruskan dengan sesi dialog bersama Yang Berbahagia, Prof Razak Abdul Saleh. Dalam sesi dialog ini, ahli-ahli MPP banyak mengutarakan isu-isu yang berkaitan dengan kebajikan Mahasiswa UUM. Antaranya  tuan YDP Ku Amirul Faiz mengemukakan cadangan agar dibina laluan berbumbung  ke varsity mall dari laluan A dan laluan B. selain itu juga Timbalan Yang Dipertua, Azri Norfikri membangkitkan isu harga stiker  kenderaan dan meminta agar harga stiker kenderaan bagi motosikal dikurangkan ke RM 10- RM 3. Beliau juga meminta agar pihak HEP mengkaji semula syarat permohonan stiker  tersebut.  Exco UUM CAS, saudara zahier  mengemukakan cadangan agar peruntukan disetiap persatuan akademik ditambah bagi menggalakkan para pelajar menggerakkan aktiviti-aktiviti yang bersifat ilmiah.  


Saudara Shafie, Exco Kebudayaan dan Kesenian

Exco kebudayaan dan kesenian saudara shafie hassan turut mencadangkan agar pihak UUM memberi elaun yang setimpal kepada para pelajar yang menyertai Pertandingan Kebudayaan di peringkat luar UUM. Disamping itu Naib Yang Dipertua 2, saudara Razali Bahar meminta agar pihak UUM kerap  menghantar atlet-atlet ke pertandingan luar dan tidak ‘double standard’ dalam pemilihan utntuk mewakili Universiti. Yang berbahagia Prof Razak menyatakan beliau akan meneliti isu dan masalah ini serta menyatakan akan diselesaikan dengan secepat yang mungkin.


"INTEGRITI TERAS KEPIMPINAN SISWA"




Sunday 18 November 2012

Kenyataan rasmi MPP UUM berhubung serangan ke atas GAZA







Kenyataan rasmi MPP UUM

ISU: SERANGAN ISRAEL KEATAS GAZA

1) Kami mahasiswa Universiti Utara Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya serangan serta bedilan roket yang dilepaskan oleh Israel terhadap negara Palestin.

2) Serangan  ini secara terang mencabul hak kedaulatan negara Palestin.

3) Kami mahasiswa Universiti Utara Malaysia tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa, melahirkan kecaman terhadap kezaliman tentera ZIONIS dalam isu ini.

4) Kami mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan Israel yang telah meragut nyawa orang awam.

5) Kami menyokong penglibatan aktif Malaysia di dalam OIC serta negara ISLAM dan badan dunia lain untuk menzahirkan kecaman terhadap kekejaman ISRAEL.

6) Kami menyeru kesepakatan negara liga Arab, negara ASEAN, serta negara-negara Islam yang lain untuk bersatu padu menzahirkan kecaman terhadap ISRAEL.

7) Kami mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenakan tindakan yang sewajarnya terhadap ke biadapan dan jenayah perang Israel yang dilakukan keatas rakyat Palestin.








Wednesday 14 November 2012

LAWATAN KE PARLIMEN PROGRAM JEJAK SISWA SATU MALAYSIA SIRI 2

Pada 6 November 2012,Seramai 14 mahasiswa Wakil Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia beserta Presiden Persatuan,Kelab dan Dewan Penginapan Pelajar menyertai Program dibawah kendalian Parlimen Malaysia iaitu Jejak Siswa Satu Malaysia Siri 2, ianya telah berlangsung di Parlimen Malaysia. Yang turut serta adalah peserta daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.Antara objektif program ini dijalankan adalah untuk memberi pendedahan awal tentang stuktur organisasi pentadbiran demokrasi negara ini.Setiba disana peserta disambut baik oleh Setiausaha Sulit Kanan Yang di Pertua Dewan Negara, Datuk Shamsul Bahri Shamsudin. Kami diberi taklimat awal oleh beliau di Dewan Negara. Dan juga diberi kesempatan untuk duduk di kerusi Perdana Menteri dan juga Barisan Pembangkang.






Kami diberi kesempatan masuk selama 10minit semasa Persidangan Dewan Rakyat bermula. Dewan Rakyat yang dipengerusikan oleh Tan Sri Pandikar Amin Mulia.Semasa sesi pembentangan dijalankan kelihatan ahli-ahli politik seperti Nurul Izzah binti Anwar ( Lembah Pantai ), Dato' Seri Haji Abdul Hadi bin Awang ( Marang ) dan Dato' Mukhriz bin Tun Dr. Mahathir ( Jerlun ) sedang berbahas. 




Sesi bersama Pemimpin dimulai dengan Yang Di Pertua Dewan Negara, YB Tan Sri Abu Zahar Ujang peserta diberi kesempatan untuk bersoal jawab dengan beliau. Wakil MPPUUM,Iqtiyani Binti Mohd Bashir sempat bertanya beberapa soalan serta pandangan beliau terdapat sistem pentadbiran negara.Selain itu juga MPPUUM Razali Bahar bertanya beberapa soalan sebelum sesi bersama YB tamat. Sebelum program berakhir peserta dijamu dengan makan tengahari bersama YB Tan Sri Abu Zahar Ujang bersama VIP lain.Sebelum bergerak pulang, pihak daripada parlimen sempat memberikan cenderamata kepada para peserta program. 






"Integriti, Intelek, Teras Kepimpinan Siswa"




Sunday 11 November 2012

MAJLIS ANUGERAH INOVASI KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI, PUTRAJAYA


MAJLIS ANUGERAH INOVASI KEMENTERIAN PENGAJIAN TINGGI, PUTRAJAYA


Pada 6 November 2012 bersamaan hari Selasa berlangsungnya Majlis Penyampaian Anugerah Inovasi Kementerian Pengajian Tinggi tahun 2012 (AIKPT 2012) yang bertemakan ‘Inovasi Memacu KPT Gemilang’ di bangunan Kementerian Pengajian Tinggi Dewan Za’ba. Jawatankuasa Teknikal Program Bulan InovasI & Kreativiti KPT 2012 dipengerusikan oleh YBhg. Datuk Hj. Omar Abd Rahman, merupakan Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan KPT. 




Dari kiri, TYDP Azri Norfikri , YDP Ku Amirul Faiz b Ku Seman, Setiausaha Agong Muhammad Hariz Ahmad





Mahasiswa dari Universiti  Utara Malaysia (UUM) diwakili oleh beberapa barisan dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Sekretariat 1Malaysia beserta 2 orang staf pengiring dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP). Kami tiba di KPT, Putrajaya tepat pada jam 8.00 pagi. Selain dari UUM, IPT seperti UPSI, UNIMAS, UNIMAP, USM, UTM, Politeknik dari Kota Bharu, Banting dan Merlimau, dan Kolej Komuniti dari Bukit Beruang, Segamat 2 dan Chenderoh juga hadir di majlistersebut.

Antara objektif program tersebut dianjurkan adalah bertujuan untuk memperkukuhkan nilai-nilai budaya kreativiti dan inovasi di KPT, di samping memberi pengiktirafan kepada warga yang telah berusaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan melaksanakan inovasi sebagai mekanisme kecemerlangan . AIKPT  2012 merangkumi empat kategori yang dipertandingkan iaitu kategori Ibu Pejabat KPT, IPTA, Politeknik dan Kolej Komuniti.

Majlis Penyampaian  AIKPT 2012 bermula pada jam 9.00 pagi oleh persembahan Koir, menyanyikan Lagu Negaraku dan Lagu Meraikan Kreativiti, bacaan doa, serta tayangan montaj Bulan Inovasi & Kreativiti. Seterusnya ucapan aluan oleh Yang Berbahagia Datuk Ab. Rahim Md. Noor merangkap Ketua Setiausaha KPT (KSUKPT). Majlis dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi 1 iaitu YB Dato’ Dr. Hou Kok Chung.

Kemudian, anugerah bermula dengan Pelancaran Bank Idea KPT oleh YBhg. Datuk Ab. Rahim Md. Noor (KSUKPT). Terdapat beberapa anugerah yang telah dipertandingkan, antaranya:

-          Pemenang 5 Idea Terbaik Bank Idea KPT
-          Pemenang Konvokesyen KIK KPT Kali ke-5
-          Sijil Penghargaan kepada Panel AIKPT 2012
-          Anugerah Inovasi KPT
-          Asia’s Thought Leader in the Public Sector 2012 Award



Slot  terakhir ialah Ceramah Inovasi yang disampaikan olehYBhg. Datuk Dr. Maznah Hamid (The Iron Lady). Datuk merupakan Pengarah Eksekutif Securiforce Group of Companies. Ceramah dimulakan dengan nyanyian lagu ‘KauBoleh’ yang member inspirasi dari segi mental. Saudari Azyan MPP Exco Pusat Pengajian Antarabangsa UUM dengan semangatnya telah menyahut cabaran Datuk Dr.Maznah untuk naik keatas pentas untuk menyanyikan lagu ‘KauBoleh’. Datuk Dr. Maznah telah menyampaikan segala ilmu dan pengalaman beliau sepanjang hidupnya sebagai seorang wanita yang bekerjaya. Menurut pandangan saudari Azyan, seorang mahasiswa seharusnya mempunyai jati diri dan sentiasa bermotivasi mengikut jejak langkah mereka yang telah berjaya di samping bersedia dalam menempuhi segala cabaran. Mahasiswa juga haruslah menjadi seorang yang proaktif dan berwawasan.


Saudari Azyan juga dipanggil oleh YBhg. Datuk Dr. Maznah untuk naik keatas pentas kerana saudari Azyan merupakan pelajar yang selalu berkomunikasi di alam maya iaitu Facebook Dr.Maznah. Menurut Azyan, santapan minda oleh Datuk merupakan salah satu faktor yang membantu saudari Azyan menjadi seorang mahasiswa yang sentiasa berfikiran positif.





Program tersebut dapat menggalakkan mahasiswa membudayakan inovasi di era globalisasi di mana kini ramai graduan yang menganggur. Daripada pandangan mahasiswa itu sendiri, mahasiswa haruslah bersedia untuk menghadapi alam pekerjaan yang mana program ini mendorong mahasiswa untuk berfikiran kreatif dan inovatif agar membuka minda, disamping dapat membantu memajukan negara.

“Hidup Ini Boleh Diubah Dengan
Merubah Cara Kita Berfikir,
Apa Yang Di Percayai Oleh Fikiran Kita
MakaI itulah Yang Akan Dicapai Oleh Kita”





Thursday 8 November 2012

Dialog bersama Dr Roslan, Pengarah Bahagian Siswa dan Remaja BTN



Dialog bersama Dr Roslan, (dari kiri, Tydp Azri Nurfikri, Dr Roslan, En Sani, Dr Amy Azhar


Pada 4hb November 2012, MPP UUM sesi 2012/2013 telah menerima kunjungan dan lawatan Dr Roslan, Pengarah Bahagian Mahasiswa dan Remaja Biro Tatanegara(BTN).

Majlis ini telah dihadiri oleh Ahli MPP yg diketuai oleh saudara Azri TYDP MPP, semasa membuka majlis ini saudara Azri telah mengalu-alukan kesudian Dr Roslan untuk hadir ke pertemuan ini. Beliau merasakan pertemuan ini merupakan satu titik tolak kepada mewujudkan sebuah hubungan yg lebih erat antara MPP UUM khasnya dan UUM amnya dengan BTN.

Pertemuan ini juga telah disertai oleh Dr Mohd Amy Azhar hj Mohd Harif, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan En Sani, Penolong Pengarah BTN Kedah. Dr Amy dalam ucapan aluannya juga telah melahirkan rasa gembira kerana kesudian Dr Roslan untuk mengunjungi MPP UUM serta menyarankan agar semua MPP mengambil peluang ini bertukar-tukar pandangan serta mencungkil sebanyak mungkin pengalaman Dr Roslan dan kepimpinan mahasiswa sesuai dengan beliau juga merupakan salah seorang bekas pelajar UUM dan MPP semasa zaman pengajiannya.Dr Roslan dalam pertemuan ini telah menjelaskan tentang peranan dan tanggungjawab BTN dalam memperkasakan semangat patriotisme dikalangan belia remaja dan mahasiswa Ipt, beliau juga mengharapkan agar dengan pertemuan ini akan memberi peluang kepada beliau utk berkomunikasi secara langsung dengan kepimpinan mahasiswa di UUM.

Beliau juga menerangkan bahawa BTN telah mentranformasikan pendekatan BTN dalam pelaksanaan aktiviti kenegaraan dan kepimpinan. Perubahan ini perlu bagi menyesuaikan keperluan remaja dan mahasiswa masakini. BTN juga berharap agar MPP tampil memberikan cadangan apa yg diperlukan dalam melaksanakan prog ram pembangunan jati diri mahasiswa sesuai dgn keperluan orang muda masa kini. Pendekatan hasil transformasi dari segi aktiviti tersebut akhirnya bermatlamatkan menanam perasaan cinta akan negara.


Mpp menyuarakan pendapat dan soalan kepada Dr Roslan


Melalui sesi soal jawab yang dibuka, antara soalan yang dikemukan oleh exco mpp ialah bagaimana program-program BTN membawa kepada semangat patriotisme dan juga mencadangkan transformasi program btn perlu diperhalusi menarik minat peserta. Beliau berkata bahawa remaja dan mahasiswa perlu melengkapkan diri menjadi insan yang bertanggugjawab untuk memenjadi pewaris kepimpinan negara kelak.kelak program program yang dijalankan membantu meningkatkan kesedaran kepada peranan siswa dalam membentuk tanggungjawab kepada negara, kekuatan dan kesedaran akan terbina dalam diri mereka seterusnya melengkapkan diri untuk menjadi pemimpin yang berilmu, berakhlak dan mempunyai patiotisme yang tinggi.

Mengulas mengenai transformasi yang akan dijalankan sepanjang tahun 2013 , beliau menyatakan hasrat untuk mengubah persepsi remaja dan siswa bahawa program Btn hanya berteras kem semata-mata. dengan transormasi hasil pandangan dan perbincangan bersama siswa dan, pelbagai program yang bersesuaian dengan siswa telah mula dijalankan.

Semoga dengan input dari mahasiswa BTN akan dapat memantapkan lagi peranan Btn dalam memperkasakan jatidiri mahasiswa.




Sunday 4 November 2012

YDP MPP UUM dalam akhbar Mingguan Malaysia

BERDASARKAN rekod terkini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), pengundi muda dalam kategori lingkungan umur 21 hingga 39 tahun - telah mencecah angka 5.2 juta orang . Ini menjadikan golongan orang muda sebagai kelompok penting yang perlu diberi perhatian kerana ia berkait rapat dengan masa depan negara. 

Dari segi statistik, pengundi yang berumur 21 hingga 29 tahun mencatatkan jumlah 2.3 juta orang . Ini bermakna golongan yang berusia di bawah 30 tahun semakin ramai. Adakah angka pengundi muda ini tanda penentu sosial dan politik negara? Wartawan Mingguan Malaysia, RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH mewawancara Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) merangkap Setiausaha Agong Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK), KU AMIRUL FAIZ KU SEMAN mengenai perkara ini.



MINGGUAN: Sebagai mahasiswa, bagaimana pemahaman anda terhadap demokrasi?
 
 
KU AMIRUL: Demokrasi merupakan sistem terbaik untuk memilih pemimpin. Di peringkat universiti, sistem ini digunapakai bermula dengan kelab kecil sehinggalah pemilihan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Mahasiswa dilihat semakin sedar dan peka terhadap sistem demokrasi di kampus. Sistem pilihan raya kampus memberi peluang mahasiswa terlibat dalam sistem demokrasi. Mereka kena menerima hakikat inilah sistem kita. Begitu juga di peringkat kebangsaan, mahasiswa dan orang muda sudah faham bagaimana demokrasi berfungsi. Mereka tahu jika tidak mengundi dalam pilihan raya, mereka tidak dapat membuat pilihan dan perubahan untuk masyarakat dan negara. Walaupun begitu, ada setengah pihak gagal menafsirkan makna demokrasi. Sebenarnya, sistem itu murni tetapi persepsi setengah pihak menganggap seolah-olah sistem itu dikawal dan tidak berfungsi.


MINGGUAN: Boleh anda jelaskan aspirasi orang muda masa kini?

KU AMIRUL: Aspirasi orang muda adalah mudah iaitu kami mahu pemimpin yang dapat membantu menyelesaikan masalah kami. Sebab itulah diwujudkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Dalam MPPK, kami bebas bercakap mengenai pelbagai isu, dari mahasiswa, masyarakat hinggalah negara. Kad diskaun mahasiswa misalnya, terhasil daripada perundingan MPKK. Mahasiswa memerlukan platform dan platform itu disediakan kerajaan. Maka kita perlu gunakan dengan sebaiknya.


MINGGUAN: Golongan mahasiswa dilihat sering memperjuangkan hak kebebasan bersuara. Apakah pendapat anda mengenai isu ini?

KU AMIRUL: Hak ini penting tetapi kita perlu kebebasan yang beradab. Maknanya kita bebas untuk mengekspresikan pendapat kita tetapi perlu tahu caranya. Kita perlu berfikir apa yang kita cakap sama ada boleh atau tidak. Undang-undang yang diwujudkan bukan bertujuan mengawal atau menghalang orang muda bersuara. Sebaliknya penting untuk menjaga keharmonian dalam banyak perkara. Orang muda perlu tahu setiap hak itu diiringi dengan tanggungjawab. Hak bersuara perlu disampaikan dengan cara yang baik, diplomasi dan intelektual. Mahasiswa perlu menyuarakan pendapat berdasarkan fakta dan bukannya dan emosi. Kita tidak perlu menyuarakan hak di jalanan yang belum tentu memberi impak yang besar.

MINGGUAN: Wajarkah golongan mahasiswa terlibat dalam politik?

KU AMIRUL: Akta Kolej dan Universiti (AUKU) sekarang sudah membenarkan mahasiswa terlibat dalam politik di luar kampus. Tetapi mereka perlu natural semasa dalam kampus. Bagi saya, semua bergantung kepada diri sendiri. Tidak dinafikan berpolitik boleh meningkat kemahiran sosial. Tetapi jangan lupa tujuan mahasiswa ke kampus ialah menuntut ilmu. Apa yang saya risau sekarang ialah ketaksuban mahasiswa berpolitik ini boleh memecah-belahkan mahasiswa sendiri. Jika mereka boleh berfikir secara rasional, keadaan boleh terkawal kerana kita boleh hidup bersama walaupun berbeza pendapat.


MINGGUAN: Ada golongan muda berpendapat politik sekarang kotor sehinggakan mereka tidak mahu mengambil tahu. Apa komen anda?

KU AMIRUL: Kotor atau tidak bergantung pada permainan politik itu sendiri. Orang mudalah yang perlu mengubah situasi ini. Untuk mengubah mereka kena mengambil tahu aspirasi kebangsaan dan peka isu sosial dan politik. Kita orang muda wakil kepada aspirasi kebangsaan, bukannya kepada kumpulan tertentu. Itulah peranan orang muda dalam pilihan raya. Orang muda merupakan komposisi pengundi yang agak besar kali ini. Mahu tak mahu, kita kena buat pilihan yang baik. Memilih pemimpin terbaik untuk meneruskan aspirasi kebangsaan. Pada pandangan saya, politik kita bukan seperti politik Amerika, politik kita lahir daripada gagasan sejarah.


Bagaimana pemimpin yang dikehendaki orang muda?

KU AMIRUL: Kami mahukan pemimpin 'berjiwa muda' bukan dari segi penampilan fizikal semata tetapi juga cara berfikir. Mereka perlu mengambil berat tentang kebajikan orang muda. Saya berminat dengan kata-kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, sekarang bukan zaman untuk kerajaan tahu semuanya, tetapi sekarang ini satu zaman rakyat kena beritahu apa yang mereka perlukan. Bukan senang mencari pemimpin seperti beliau yang boleh mendengar rasa hati orang muda dan boleh duduk bersama tanpa protokol. Pemimpin macam ini yang orang muda mahukan. Selain dekat dengan orang muda, beliau mengambil inisiatif turun ke akar umbi untuk mendengar permasalahan rakyat.


MINGGUAN: Apa pandangan anda tentang perbalahan yang wujud dalam politik?

KU AMIRUL: Sejujurnya, kami sudah muak melihat perbalahan. Tuduh menuduh yang dilontarkan lebih kepada fitnah bukan fakta. Mahasiswa memerlukan parti politik yang menjuruskan kepada perdebatan intelektual. Masalahnya, ada yang berani di pentas menaburkan fitnah untuk menjatuhkan pihak lawan. Kami mahasiswa diasuh pertarungan idea dan intelektual.


MINGGUAN: Bagaimana untuk menyedarkan mahasiswa dan orang muda tentang peranan mereka dalam sosial dan politik negara?

KU AMIRUL: Mahasiswa perlu dididik tentang integriti pemikiran. Golongan ini perlu menilai sumber yang sahih bukan merujuk kepada sesetengah media alternatif yang banyak mengetengahkan laporan yang tidak tepat dan tidak beretika. Rujuklah kepada media arus perdana yang terbukti mempunyai kredibiliti dan integriti. Untuk mengubah permainan politik, mahasiswa dan orang muda perlu mengubah cara berfikir dan jangan terpengaruh dengan sekian banyak persepsi yang mempunyai tujuan tertentu.



Friday 2 November 2012

35 IPT diiktiraf cemerlang

Dato Seri Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi

Pencapaian berdasarkan pengajaran dan pembelajaran

Shah Alam: Sebanyak 35 institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta menerima pengiktirafan cemerlang menerusi Sistem Penarafan Institusi Pengajian tinggi (SETARA) 2011 berbanding 18 IPT pada 2009.
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata sebilangan besar universiti dan kolej universiti menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan dalam SETARA 2011.

Daripada 32 universiti yang dinilai, empat universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia menerima pengiktirafan enam bintang, tertinggi dalam penarafan MyRA.

Katanya, SETARA adalah sistem penarafan dan bukan sistem kedudukan (ranking) yang menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran di sesebuah universiti atau kolej universiti.

Bagaimanapun, katanya, tiada universiti mencapai tahap enam atau terbilang atau tahap satu dan dua bintang, iaitu lemah dan memuaskan.

UUM antara cemerlang

IPT awam yang menerima pengiktirafan cemerlang termasuk Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Utara Malaysia.

IPT swasta yang menerima pengiktirafan sama antaranya Universiti Multimedia, Universiti Kuala Lumpur, Universiti Teknologi Petronas, Kolej Universiti Sunway, Universiti Teknologi Curtin Kampus Sarawak, Universiti Monash Kampus Sunway, Kolej Universiti Taylor's dan Kolej Universiti Nilai.

Mohamed Khaled turut mengumumkan penarafan bintang bagi mengukur program penyelidikan, pembangunan dan pengkomersialan mengikut Instrumen Penilaian Penyelidikan Malaysia (MyRA) terhadap IPT yang terbabit dalam program berkenaan.

Beliau berkata, sejak MyRA dilaksanakan pada 2007, tahun ini julung kali keputusannya didedahkan kepada umum.

Enam bintang

Daripada 32 universiti yang dinilai, empat universiti awam iaitu Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Sains Malaysia menerima pengiktirafan enam bintang, tertinggi dalam penarafan MyRA.

IPT yang menerima pengiktirafan lima bintang pula ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Teknologi PETRONAS.

Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Teknologi Petronas turut terpilih untuk masing-masing menerima inisiatif geran bernilai RM5 juta sebagai galakan membangunkan program penyelidikan.

Katanya, kedua-dua sistem penilaian itu (SETARA dan MyRA) digunakan untuk membuat dasar termasuk penetapan dasar penting dan untuk membangunkan usaha memantapkan universiti di negara ini.

Jawatankuasa bebas

“Proses dan mekanisme penilaian kedua-dua SETARA dan MyRA dilaksanakan dua jawatankuasa bebas berasingan yang masing-masing dilantik oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Kementerian Pengajian Tinggi melalui Jabatan Pengajian Tinggi.

Mohamed Khaled berkata, penarafan itu juga bertujuan mendidik orang awam untuk membuat pemilihan universiti berdasarkan kepada bintang yang diperoleh IPT terbabit selain mendapat pengiktirafan daripada masyarakat antarabangsa.

Ditanya mengapa penilaian selepas ini dibuat tiga tahun sekali bukan lagi dua tahun, Mohamed Khaled berkata ia untuk memberi peluang kepada IPT memperbaiki kekurangan masing-masin.