Integriti, Intelek, Teras Kepimpinan Siswa
Assalamuailaikum dan Salam Idealis siswa,
Saya mewakili kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia mengucapkan terima kasih diatas kepercayaan yang telah diberikan kepada kami. Sesungguhnya kepercayaan serta mandat ini merupakan satu amanah yang akan dipikul oleh kesemua ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia dengan hati terbuka dan tersedia. Dengan mengekalkan pendekatan bermusyawarah dalam mencari jalan penyelesaian, diharapkan segala permasalahan dan KEPERLUAN mahasiswa dapat diambil berat oleh pihak pentadbiran.
Izinkan saya disini menerangkan serba sedikit mengenai struktur Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia. Berbanding dengan Kabinet saudara Amer Izzuddin, terdapat beberapa rombakan struktur yang berlaku. Rombakan ini adalah bertujuan untuk memperkasakan lagi penyampaian maklumat dari atas ke bawah dan dari bawah ke atas. Penyampaian maklumat yang berkesan bagi kedua buah pihak mampu menjamin keharmonian kampus. Pada Kabinet ini juga diwujudkan 14 Exco MPP yang mewakili 14 Pusat Pengajian sambil dibantu dengan tiga penyelaras kolej Akademik iaitu Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Kolej Perniagaan serta Kolej Sastera dan Sains. Namun begitu kami masih mengekalkan struktur exco yang lama, cuma ditambah dengan satu exco iaitu exco Perhubungan Awam.
INTEGRITI, INTELEK TERAS KEPIMPINAN SISWA dipilih untuk menjadi motto bagi kabinet kali ini. Ia sesuai untuk merealisasikan konsep memasyarakatkan mahasiswa dengan nilai terpuji. Frasa Integriti dan Intelek dipilih kerana ia mempunyai makna yang sinonim dengan perjuangan mahasiswa. Perjuangan mahasiswa berteraskan integriti dan memerlukan pemimpinnya menjadi intelek dalam membawa isu masyarakat kampus serta luar. Justeru dengan berbekalkan dua teras ini, ia diharapkan mampu membantu kepimpinan mahasiswa di peringkat MPP, DPP, Kelab mahupun persatuan diurus dengan baik.
Selain itu, MPP kali ini meneruskan usaha yang telah dimulakan oleh kepimpinan terdahulu iaitu membuka peluang penglibatan mahasiswa secara aktif bagi menyelesaikan permasalahan mahasiswa. Misalnya isu makanan yang merangkumi harga serta kualiti, hasil perbincangan MPP bersama pihak F&B Pusat Penginapan Pelajar bersetuju untuk melibatkan mahasiswa dalam Jawatankuasa Pemantau kualiti Makanan. Di peringkat kepimpinan MPP, kami memerlukan bantuan serta maklumat bersama bukti untuk bersama membawa permasalahan makanan ke pihak atasan.
MPP UUM mengharapkan penglibatan yang berkesan dari rakan mahasiswa untuk mewujudkan keadaan yang kondusif didalam kampus. Selain menjadikan kampus ini sebagai tempat menuntut ilmu, ia juga wajar menjadikan sebagai rumah besar kedua warga mahasiswa. Semoga dalam masa satu tahun memegang tampuk pentadbiran MPP UUM, rakan mahasiswa dapat berkolaborasi dengan berkesan bagi menyalurkan pendapat serta pandangan demi mewujudkan masyarakat kampus yang kondusif. Jangan segan serta silu untuk menyalurkan input demi kebaikan masyarakat kampus.
Salam Perjuangan dari kami Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Utara Malaysia sesi 2012/2013. Ayuh bersama kami merealisasikan ILMU, BUDI dan BAKTI.
Integriti, Intelek, Teras Kepimpinan Siswa
Ku Amirul Faiz Ku Seman
Yang DiPertua Majlis Perwakilan Pelajar UUM
Integriti, Intelek,
Teras Kepimpinan Siswa
Ku Amirul Faiz Ku
Seman
Yang DiPertua
Majlis Perwakilan Pelajar UUM
No comments:
Post a Comment