Monday 25 February 2013

UUM JALIN KERJASAMA DENGAN UNIVERSITI Chiang Mai University






UUM ONLINE: Lawatan kerja Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dato Dr Mohamed Mustafa Ishak bersama 24 orang Profesor dari Majlis Profesor UUM ke Chiang Mai pada 29 Januari hingga 1 Februari lalu mencatatkan kejayaan apabila termeterainya perjanjian persefahaman (MoU) dengan Chiang Mai University (CMU).

Pemetraian yang ditandatangani oleh Naib Canselor UUM dengan Presiden CMU, Prof. Niwes Nantachit telah berlangsung pada 31 Januari di universiti berkenaan dengan beberapa agenda strategik telah dibincangkan secara mendalam sempena lawatan tersebut. Di akhir kunjungan, delegasi UUM telah dibawa melawat persekitaran kampus dan jamuan makan tengah hari khas yang diraikan oleh Presiden CMU. 


Dalam ucapan aluannya, Naib Canselor berkata, UUM amat berbangga dengan kerjasama yang telah diadakan. Ini kerana, CMU merupakan universiti ketiga terbaik di kalangan IPT di Thailand. Kerjasama bersejarah ini akan menguatkan lagi jenama UUM di negara jiran ini umumnya dan di rantau ASEAN secara keseluruhannya selari dengan semangat ASEAN COMMUNITY 2015 nanti. 


Sebelum itu, delegasi UUM turut mengadakan lawatan ke Maejo University (MJU) dan telah disambut oleh Presiden universiti berkenaan, Prof. Dr Chamnian Yosraj. Rangka lawatan ini merupakan kunjungan balas Naib Canselor dan pegawai utama MJU yang pernah berkunjung ke UUM sebelum ini.


MJU mempunyai kehebatan dalam bidang pertanian dan Naib Canselor berharap kerjasama bersama universiti berkenaan secara tidak langsung akan membantu program Agriculture Business di UUM. Disamping itu, beliau juga berhasrat akan mewujudkan program Pengurusan Pertanian di UUM melalui bantuan yang dipersetujui dengan pihak MJU. Majlis Profesor dalam pada itu turut mengadakan sesi perbincangan khas mengikut kepakaran masing-masing dengan pihak akademik MJU.


Pada lawatan MJU juga, delegasi turut berpeluang melawat ladang longan terbaik di dunia dengan fasiliti dan teknologi pertanian yang paling canggih di Thailand.


Lawatan tersebut yang dibiayai sendiri oleh semua Profesor yang terlibat adalah sebahagian daripada kegiatan yang dirancangkan oleh Majlis Profesor UUM dalam rangka membina jaringan antarabangsa UUM yang lebih luas.

No comments: