Thursday 20 December 2012

Majlis Konvokesyen Khas Universiti Utara Malaysia



 
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah telah berkenan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepemimpinan Keamanan- Peace Leadership) kepada Presiden Republik Indonesia, Dr H. Susilo Bambang Yudhoyono di Majlis Konvokesyen Khas Universiti Utara Malaysia (UUM) di Istana Negara, Kuala Lumpur.
Pengurniaan oleh Baginda yang juga Canselor UUM tersebut kepada Dr H. Susilo Bambang Yudhoyono atas sumbangan cemerlang beliau dalam keamanan sejagat.
Ketika bertitah pada Majlis Konvokesyen Khas UUM, Baginda menyatakan bahawa keamanan yang dinikmati pada hari ini adalah hasil kepemimpinan yang berwibawa, berwawasan serta bijak dalam mengendalikan krisis dan pergolakan.
“Keamanan yang dinikmati oleh kita semua sehingga ke hari ini adalah hasil usaha semua pihak sama ada pihak pemimpin mahupun rakyat jelata yang masing-masing sebenarnya, mendambakan keamanan dan kehidupan yang selesa lagi selamat. 
“Walau bagaimanapun, keadaan ini memerlukan kepemimpinan yang berwibawa, berwawasan serta bijak dalam mengendalikan krisis dan pergolakan, sama ada krisis ekonomi, politik atau pergolakan sosial demi mewujudkan keamanan, stabiliti dan ketahanan pertumbuhan ekonomi melalui kepemimpinan yang berteraskan keamanan,” titah Baginda.
Baginda bertitah, Dr H. Susilo Bambang Yudhoyono adalah pemimpin yang berjaya menyelesaikan konflik, krisis dan permasalahan melalui permuafakatan dalam sebuah negara yang penduduknya lebih daripada 230 juta.
“Beta percaya tanggungjawab ini bukan lah mudah untuk dilaksanakan, kerana berhadapan dengan pelbagai cabaran tetapi dengan keizinan Allah yang telah menganugerahkan beliau dengan kepemimpinan yang mementingkan keamanan sejagat, keamanan dan kemajuan yang mampan untuk Indonesia khususnya, dapat dinikmati oleh semua pihak.
“Penganugerahan Ijazah Kehormat Kepimpinan Keamanan yang julung kali diadakan ini menandakan pengiktirafan UUM kepada Dr H. Susilo Bambang Yudhoyono, atas sumbangan besar beliau kepada keamanan sejagat.
 
“Beta mengucapkan tahniah di atas penganugerahan ini dan semoga ia akan menjadi inspirasi kepada kepimpinan sekarang dan kepimpinan akan datang untuk terus mempergiatkan usaha ke arah dunia sejagat, lebih-lebih lagi untuk di rantau Asia ini,” titah Baginda.
 
Sementara itu, Naib Canselor UUM, Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak berkata, berkat kepimpinan Dr H. Susilo Bambang Yudhoyono, hubungan erat antara Malaysia dan Indonesia terjalin rapi, terutama bagi UUM yang sentiasa terbuka untuk menyumbang ke arah kemakmuran yang melimpah untuk rakyat kedua negara serumpun ini.
“Atas sumbangan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono, Senat Universiti Utara Malaysia, memutuskan untuk menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kepemimpinan Keamanan) kepada beliau.
 
“Semoga, penganugerahan ijazah kehormat Doktor Falsafah dalam Kepemimpinan Keamanan ini menambahkan lagi keakraban hubungan Malaysia-Indonesia,” katanya.

No comments: