Thursday 20 December 2012

FITNAH MELALUI MEDIA






Menganggotai sesebuah organisasi pelajar seperti Kelab, Persatuan, menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar(MPP) ataupun JKPS bukanlah untuk mendapatkan markah SIRA ataupun menjawat jawatan untuk mencari populariti semata-mata. Sebaliknya perlu diterjemah dalam bentuk yang lebih konkrit dalam usaha pembangunan diri mahasiswa itu sendiri. Itulah antara amanat dan nasihat yang disampaikan oleh Encik Roslee Mardan, Penolong Pengarah Bahagian Pembangunan Pelajar, HEP merangkap Penasihat Kelab Setia Negara Universiti Utara Malaysia(KSNUUM). 
Dalam ucapannya sempena Mesyuarat Agung Tahunan(AGM) 2012/2013 KSNUUM, beliau berkata, setiap ahli KSNUUM perlu sedar bahawa menganggotai organisasi perlu dijadikan satu kesempatan untuk melatih diri menjadi mahasiswa yang kreatif, berkeyakinan dan berketerampilan, selain berdaya fikir dan berperwatakan baik. Beliau menyeru supaya ahli-ahli KSNUUM mengelakkan diri daripada menjadi ‘sleeping partner’ atau sekadar mengambil manfaat daripada hasil usaha orang lain tanpa melakukan apa-apa untuk kemajuan diri sendiri. Tegasnya, jika sekadar menganggotai badan pelajar hanya untuk mengelak daripada dikenakan hukuman oleh pihak Universiti, maka pelajar lebih terdorong sekadar menjadi peserta. Kesannya, pelajar akan gagal bertindak sebagai peneraju dan pencetus perubahan. 
“Hukuman boleh membuatkan sesiapa sahaja menjadi terpaksa. Sebagai contoh jika tidak aktif, anda takut dibuang dari kolej kediaman(DPP), diapungkan, atau mungkin terasa seperti tidak mendapat sebarang keistimewaan seperti kebajikan, isu tidak mendapat sticker dan sebagainya menyebabkan anda hanya memaksa diri menjadi pengikut(peserta) kepada organisasi yang ada. Mesti ingat, setelah menjadi ahli badan pelajar atau organisasi kelab, anda perlu bertindak lebih daripada itu. Sebaik-baiknya anda mesti mencetus perubahan selaku peneraju utama. Sumbangkanlah sesuatu yang bermanfaat pada organisasi yang anda semua sertai. Fikirkan sesuatu yang segar, yang memberi impak kepada orang di sekitar anda, aktiviti yang membantu menaikkan imej Universiti. Itulah matlamat kita berorganisasi”. Kalau anda ada komitmen sebegini, insyaallah KSN ini akan menjadi antara badan pelajar yang paling aktif dan tidak mustahil berada pada rangking teratas”. Untuk membuat perubahan itu, tidak perlu terburu-buru. Yang penting perlu mulakan usaha”. 
Dalam ucapan sama, Encik Roslee turut memberi peringatan kepada ahli-ahli KSNUUM agar menjauhkan diri daripada golongan-golongan perosak Universiti. Katanya, fenomena media sosial yang keterlaluan menyukarkan kawalan terhadap pemikiran-pemikiran liar di kalangan mahasiswa sendiri. Segelintir mahasiswa hari ini gemar menggunakan facebook untuk mensensasikan isu dalaman Universiti dan menghentam Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni(JHEP). Menurutnya, perkara-perkara kecil yang boleh diselesaikan dengan cara perbincangan seolah-olah telah menjadi permasalahan besar sedangkan segala perkara yang digembar-gembur tersebut tidak benar. 
“Ahli-ahli KSN mesti berhati-hati dengan internet seperti facebook dan blog serta emel blackberry. Sesuatu hal yang tidak benar dan tidak jelas kesahihannya boleh menjadi fitnah. Kalau anda juga percaya maka, anda telah bersubahat menjadi pemfitnah. Tidak ada sesiapa yang rugi. Ini Universiti kita. Universiti anda. Jadi, mengapa anda nak menghancurkan Universiti sendiri. Kalau seawal usia begini anda sudah terlatih menjadi pemfitnah, bayangkanlah sepuluh tahun, mungkin dua puluh tahun akan datang, anda menjadi generasi yang suka berpesepsi negatif, berprasangka buruk, sudah tentulah kesudahannya adalah konflik. Mahasiswa terperangkap dengan pemikiran cara negatif. Itu salah, ini salah, semuanya salah. Tuhan akan menyekat kehidupan golongan pemfitnah. Tengok generasi muda di negara timur tengah yang suka berprasangka buruk menyebabkan negara tidak stabil sampai hari ini. Jika ada masalah, berterus terang kadang-kadang lebih baik berbanding kalau anda sebagai mahasiswa meluahkan apa-apa isu kepada orang(luar) yang tidak boleh membantu menyelesaikannya. Kalau tidak berupaya sekalipun, apa salahnya diam, lebih baik. Kalau tidak, keadaan akan bertambah buruk lagi. Tidak ada gunanya menjadi ahli Kelab Setia Negara kalau anda bersikap tidak setia kepada Universiti sendiri apatah lagi setia kepada negara. Jadi kena lah faham makna ‘setia’ itu. Jauhkan diri dari anasir-anasir ini”. Ujarnya.
Mengakhiri ucapan, beliau turut mengingatkan kepada ahli-ahli KSNUUM supaya selain aktif berpersatuan, pelajaran mesti diutamakan dan menjaga tatasusila sebagai mahasiswa. Tegasnya, ini boleh dilakukan dengan cara faham mengenai matlamat asal serta tidak meninggalkan kehidupan beragama. Sementara itu, mantan Presiden KSNUUM 2011/2012, Norjana Ja’afar berkata, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada ahli Majlis Tertinggi 2011/2012 yang berkerjasama melaksanakan aktiviti KSNUUM. Norjana berharap agar ahli MT dan ahli KSN yang baru keseluruhannya akan berusaha lebih keras untuk melaksanakan pelbagai aktiviti terutama mengenalpasti hight impact programme seperti yang disarankan. 
KSNUUM bertukar barisan kepimpinan baru setelah Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Berjaya dilaksanakan pada 8 Disember 2012 lalu di Dewan Auditorium, Perpustakaan Sultanah Bahiyah(PSB). Seramai 17 orang Majlis Tertinggi(MT) dilantik menggantikan kepimpinan lama. Sungguhpun begitu beberapa muka lama dikekalkan dengan menjawat jawatan tertinggi selain Biro-Biro utama. Semua ahli Majlis Tertinggi KSNUUM 2013/2014 akan terlibat dalam Kem Kepimpinan Pelajar(SLC) Perdana  anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar dan Aumni(JHEP) yang dijadualkan pada Februari 2013 dan bakal menggariskan beberapa perancangan aktiviti untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.


No comments: